- Advertisement -
 |
Tular di media sosial dua individu didakwa bertengkar di Lebuh raya Eastern Dispersal Link (EDL) dan seorang daripadanya memegang sebatang kayu. |
JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan dua lelaki yang terlibat dalam satu insiden pertengkaran di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) menghala ke Bangunan CIQ, di sini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki bertengkar dengan seorang lagi individu sambil mengacah mahu memukulnya menggunakan sebatang kayu.
“Kejadian membabitkan seorang lelaki yang memandu sebuah Honda HR-V berwarna perak bertikam lidah dengan seorang lelaki lain. Berdasarkan video, suspek dilihat mengugut mangsa dengan kayu.
“Pihak polis kini giat mengesan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video kejadian itu yang dimuat naik ke media sosial kelmarin dipercayai berlaku ketika keadaan trafik sesak. Bagaimanapun, punca sebenar pertengkaran masih belum diketahui.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Iklan