Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALPolis jamin siasatan telus insiden penguat kuasa DBKL dan peniaga belon

Polis jamin siasatan telus insiden penguat kuasa DBKL dan peniaga belon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap insiden melibatkan sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang berlaku malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata laporan berkaitan kejadian tersebut telah dibuat oleh seorang anggota penguat kuasa DBKL pada malam yang sama.

Menurut beliau, semua pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas. Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

“Kita akan panggil semua yang terlibat untuk memberikan keterangan. Pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, DBKL dalam kenyataan memaklumkan bahawa peniaga belon terbabit telah diberikan teguran sebanyak tiga kali supaya beredar dari lokasi berkenaan sebelum bertindak agresif dengan menolak anggota penguat kuasa.

Menurut DBKL, sebelum kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.50 malam, anggota penguat kuasa yang melakukan rondaan berkala mendapati terdapat beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki di Jalan TAR.

Tambahnya, kebanyakan penjaja tanpa lesen telah memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun perkara sama tidak berlaku terhadap peniaga belon berkenaan.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN