KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan peras ugut terhadap seorang wanita berusia 23 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, tahun lalu.
Tertuduh, ASP Zuhairi Zubir, 49, didakwa melakukan peras ugut terhadap mangsa dengan mengancam akan mengambil tindakan berkaitan kesalahan jenayah bagi tujuan mendapatkan wang tunai sebanyak RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Narkotik, IPD Cheras pada 1 Oktober 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Alli Nangai, mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk serahan dokumen kepada pihak pembelaan.
Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, yang mewakili tertuduh, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dan tidak berisiko melarikan diri.
“Tertuduh masih bertugas, tiada rekod disiplin, dan sentiasa memberi kerjasama. Maka, saya mohon jaminan dikurangkan agar lebih adil,” katanya.
Mahkamah yang dikendalikan oleh Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 30 Mei 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen.
Kes ini menarik perhatian awam memandangkan ia melibatkan pegawai penguat kuasa yang dipercayai menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.