KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket dadah dari Taiwan yang memproses dadah jenis amphetamine dalam bentuk cecair rokok elektronik (vape) terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kondominium mewah yang dijadikan makmal mini di Brickfields, di sini, kelmarin.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu membawa kepada penemuan 88.2 liter cecair dadah seberat 104 kilogram bernilai RM3.29 juta.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dua suspek utama warga Taiwan turut ditahan dalam serbuan berkenaan, masing-masing dipercayai berperanan sebagai ahli kimia dan penjaga stor dadah.
“Pemeriksaan menemui 20 bekas plastik ‘jerry can’ berkapasiti lima liter dan enam botol 500 mililiter yang mengandungi cecair vape dipercayai amphetamine.
“Sindiket ini dipercayai mendapatkan bahan kimia dari China sebelum memprosesnya di sini untuk pasaran tempatan dan Taiwan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah beliau, sindiket menggunakan khidmat penghantar tempatan dan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan cecair vape berkenaan yang dijual sekitar RM180 di Malaysia, manakala di luar negara harganya boleh mencecah RM400 bagi satu katrij.
Polis percaya makmal dadah ini hanya beroperasi sementara memandangkan sindiket akan berpindah lokasi setiap tiga bulan untuk mengelak dikesan.
Kediaman yang digunakan juga jenis kondominium berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan, disewa pada kadar RM4,100 sebulan.
“50 peratus bekalan dadah ini untuk pasaran tempatan dan selebihnya dieksport ke luar negara. Sindiket disyaki beroperasi sejak April 2024,” katanya.
Dua suspek lelaki berusia 30 dan 35 tahun memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Salah seorang daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh di Taiwan.
Menurut Mat Zani, beberapa individu tempatan yang dipercayai terlibat sebagai penghantar telah dikenal pasti dan kini berada dalam pemantauan polis.
“Ini adalah kes pertama makmal dadah cecair vape didalangi warga asing di negara ini.
“Kita akan bekerjasama dengan Biro Siasatan Kementerian Kehakiman (MJIB) dan Biro Siasatan Jenayah (CIB) Taiwan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.