KLANG – Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung insiden buli melibatkan sekumpulan pelajar perempuan dalam kawasan tandas sebuah sekolah di daerah ini, selepas satu rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan selepas rakaman video berdurasi lebih dua minit itu mula tersebar menerusi aplikasi Facebook kira-kira pukul 12.53 tengah hari.
“Rakaman menunjukkan insiden pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dari sekolah yang sama, di mana mangsa dilihat dipukul dan ditampar oleh beberapa individu lain dalam kawasan tandas sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Video berkenaan memaparkan seorang pelajar perempuan dikelilingi sekumpulan pelajar lain, sebelum dia ditolak, ditampar serta dipukul di bahagian badan dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada waktu persekolahan.
Tambah Vijaya, pihak polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya melibatkan pelajar sekolah.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-818 3519 atau hadir ke balai polis berdekatan.