SEREMBAN – Dua lelaki dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pengedaran dadah maut ditembak polis dalam satu insiden dramatik di tempat letak kereta sebuah kondominium di sini, malam tadi.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila polis cuba memintas sebuah kereta dinaiki dua suspek yang cuba melarikan diri.
“Berlaku insiden tembak-menembak. Suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan menyebabkan kenderaan pasukan terkena peluru. Namun, tiada anggota polis cedera dalam kejadian ini,” katanya dalam sidang media di lokasi, awal pagi tadi.
Menurut Fadil, siasatan mendapati suspek berumur 40-an memiliki 76 rekod jenayah berkaitan narkotik dan keganasan, manakala rakannya berusia 20-an mempunyai 11 rekod jenayah serupa.
“Kami turut menemui dua pucuk pistol, iaitu jenis separa automatik dan revolver, di lokasi kejadian,” katanya.
Polis percaya dua lelaki itu terbabit dalam siri samun melibatkan rumah kediaman, kilang dan pusat kurier di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati mereka juga mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dan kes samun pusat kurier di Klang, Selangor, kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, kumpulan tersebut dipercayai kerap berpindah-randah dan menggunakan unit kondominium di kawasan ini sebagai lokasi persinggahan.
“Mereka juga dipercayai menyewa kenderaan jenis Toyota dan kerap menukar nombor pendaftaran, dipercayai setiap dua hari, untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Polis kini sedang giat memburu saki-baki ahli kumpulan tersebut dan beberapa siri serbuan sedang dijalankan di sekitar Selangor, termasuk tangkapan dan rampasan dadah yang akan diperincikan kemudian.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.