- Advertisement -
.png) |
Foto Allahyarham Zayn Rayyan |
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat terbaharu berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang melibatkan satu pautan rakaman video yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata laporan tersebut dibuat oleh ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, selepas menerima video berdurasi kira-kira satu minit yang menunjukkan dirinya berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya, termasuk Zayn Rayyan, menuju ke kawasan parkir motosikal di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.
“Pengadu merasakan bahawa individu yang merakam video tersebut berada di Blok Apartmen Idaman yang berhadapan dengan Blok R. Rakaman dibuat dari satu ketinggian, menunjukkan kemungkinan besar perakam adalah penghuni di tingkat atas blok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa lalu.
Menurut Mohd Hafiz, Ismanira membuat laporan polis kerana berasa terancam dan percaya bahawa rakaman itu bukan sekadar kebetulan.
“Tidak lama selepas rakaman ini dibuat, Zayn Rayyan ditemukan mati dengan jarak kira-kira 200 meter dari lokasi video itu dirakam,” jelasnya.
Sehubungan itu, siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mengelirukan masyarakat.
Terdahulu, pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya. Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan pada leher dan badan, dipercayai akibat mempertahankan diri sebelum dibunuh.
Iklan