GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang dipercayai tertembak kepala sendiri dalam kejadian di pos pengawal, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 8 April lalu, disahkan meninggal dunia petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang sebentar tadi.
“Dimaklumkan bahawa Koperal A. Francis dari Kem Komandan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang disahkan meninggal dunia pada 10 April, pukul 5.12 petang di Unit Rawatan Rapi Am (GICU), Hospital Pulau Pinang.
“Mendiang sebelum ini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden tertembak diri sendiri pada 8 April lalu,” menurut kenyataan itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad serta seluruh warga PDRM Pulau Pinang turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Terdahulu, MYBERITA sebelum ini melaporkan seorang koperal berusia 58 tahun cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri dengan sepucuk pistol dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang di pos kawalan IPK Pulau Pinang.
Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai penyelia pos kawalan dari jam 8 pagi hingga 4 petang tidak pulang ke rumah selepas tamat syif, sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan tembakan di kepala.
Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.