Isnin, 21 Julai 2025
UTAMAHIBURANPotensi masih ada, Tok Naz minta Ariel Fesol diberi peluang kedua

Potensi masih ada, Tok Naz minta Ariel Fesol diberi peluang kedua

- Advertisement -

SHAH ALAM – Keputusan mengejut yang menyaksikan Ariel Fesol tidak disingkirkan daripada Big Stage Alpha (BSA) minggu ini menimbulkan pelbagai reaksi, namun ketua juri program berkenaan, Datuk Syafinaz Selamat tampil menjelaskan rasional di sebalik tindakan tersebut.

Menurut Syafinaz, potensi besar yang dimiliki Ariel dalam aspek vokal dan persembahan pentas menjadi sebab utama beliau memilih untuk mempertahankan penyanyi muda itu.

“Bagi saya, Ariel masih mempunyai ruang untuk berkembang. Dia ada kekuatan vokal dan karisma yang baik ketika persembahan solo. Cuma, dalam konteks berkumpulan, dia masih perlukan masa untuk sesuaikan diri,” katanya ketika ditemui MYBERITA selepas konsert minggu ketiga BSA.

Meskipun menyedari risiko mempertahankan peserta yang sebelum ini dikritik kerana persembahan hambar bersama kumpulan, Syafinaz menjelaskan beliau menggunakan pertimbangannya sebagai ketua juri untuk memohon agar Ariel diberikan satu lagi peluang.

“Saya minta jasa baik produksi supaya Ariel tidak disingkirkan minggu ini. Ia bukan jaminan untuk kekal lama, tetapi sebagai ruang terakhir untuk dia buktikan kemampuan. Kalau selepas ini tiada perubahan, tiada kompromi lagi,” tegas Syafinaz.

Beliau turut mendedahkan bahawa permintaannya turut disokong oleh juri jemputan malam itu, Ajai, yang bersetuju bahawa Ariel masih berupaya menunjukkan peningkatan jika diberi masa tambahan.

Mengulas lanjut, Syafinaz yang lebih dikenali sebagai Tok Naz berkata interaksi dan dinamika dalam kumpulan merupakan satu cabaran besar dalam pertandingan kali ini.

“Gabungan dalam kumpulan bukan sesuatu yang mudah. Ariel perlu belajar menyesuaikan diri dan membina kerjasama. Saya harap minggu tambahan ini dimanfaat sepenuhnya oleh dia,” katanya.

Big Stage Alpha bersiaran secara langsung dari Shah Alam Royal Theater selama lapan minggu dan diadili oleh barisan juri tetap Datuk Syafinaz, Edry Abdul Halim dan Hael Husaini, dengan penyertaan juri jemputan berbeza setiap minggu. Program ini dikendalikan oleh dua hos popular, Elly Mazlein dan Rina Nose.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA