Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANPPIP FC rangkul kejuaraan berganda SCLCUP 2025

PPIP FC rangkul kejuaraan berganda SCLCUP 2025

- Advertisement -

PULAU PINANG – Pasukan PPIP FC (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka di pentas bola sepak antara pusat pengajian apabila menjuarai School Championship League Cup (SCLCUP) 2025 selepas berjaya menundukkan Chemist FC (Pusat Pengajian Sains Kimia) dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di bawah cuaca hujan renyai, PPIP FC tampil konsisten sepanjang 60 minit permainan, mempamerkan corak permainan kemas, tersusun dan penuh disiplin.

15

Meskipun diasak hebat oleh Chemist FC pada separuh masa kedua, skuad bimbingan jurulatih berpengalaman itu kekal fokus dan berjaya mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat, sekali gus menjulang trofi berprestij tersebut.

15

Lebih manis, kemenangan ini turut menyaksikan PPIP FC menyapu bersih tiga anugerah utama kejohanan. Penjaga gol mereka, Muhammad Akmal Thaqif Aizul Hisham dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik atas ketangkasan dan ketenangan beliau mengawal gawang sepanjang kejohanan.

17

Sementara itu, Muhammad Alieff Farhan Mohd Fauzi dipilih sebagai Pemain Terbaik setelah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang permainan. Kejayaan itu turut dilengkapkan dengan pengiktirafan kepada Muhammad Raziq Adnan Rizal Adnan sebagai Penjaring Terbanyak setelah beliau konsisten mencipta jaringan sepanjang saingan.

Pengarah Projek SCLCUP 2025, Atiqah Syafiah, menyifatkan kejohanan tahun ini sebagai antara edisi paling kompetitif dan meriah dalam sejarah penganjurannya. Menurut beliau, PPIP FC tampil dengan semangat kesukanan yang tinggi dan sememangnya layak untuk menjulang kejuaraan.

“Empat kali dalam sejarah bergelar juara bukan satu tugas mudah. Ini bukti dedikasi dan kesungguhan seluruh pasukan daripada pemain, jurulatih sehinggalah kepada barisan penyokong. Tahun ini benar-benar membuktikan kehebatan mereka,” katanya ketika ditemui MYBERITA selepas majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu, Penolong Projek SCL, Sharvin, turut memuji semangat juang yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan yang beraksi di final.

“Walaupun hujan renyai membasahi padang, kedua-dua pasukan menunjukkan semangat luar biasa. Permainan sangat sengit, dan penonton tetap tidak berganjak memberikan sokongan penuh hingga tamat perlawanan,” ujarnya.

Kapten pasukan PPIP FC yang ditemui, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas kemenangan tersebut. Beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil kerja keras dan semangat berpasukan yang tinggi.

“Kami datang dengan satu matlamat untuk menang. Setiap pemain memberikan seratus peratus di atas padang. Kemenangan ini untuk semua yang percaya pada kami jurulatih, keluarga dan penyokong kami,” katanya penuh emosi.

Dengan kejayaan ini, PPIP FC pulang bersama trofi kejuaraan, pingat kemenangan dan paling utama, pengiktirafan sebagai pasukan paling dominan dalam sejarah SCLCUP.

16

Kemenangan berganda mereka tahun ini menambah lagi koleksi kegemilangan dan meletakkan mereka sebagai pasukan yang sukar ditandingi di pentas bola sepak antara pusat pengajian.

18

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh PPSK FC yang berjaya menewaskan SOM FC dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung petang Ahad. Aksi sengit yang berakhir seri tanpa jaringan itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti, di mana PPSK FC muncul pemenang dengan keputusan 5-4.

16
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN