KUALA LUMPUR — Presiden China, Xi Jinping menyatakan penghargaan terhadap tahap keselamatan luar biasa yang diberikan kepadanya sepanjang lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penghargaan itu disampaikan oleh Xi Jinping kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda pengiktirafan terhadap kawalan keselamatan yang rapi sepanjang lawatan berkenaan.
“Penghargaan daripada Presiden China kepada Perdana Menteri atas kawalan keselamatan yang luar biasa semasa lawatan beliau ke Malaysia tempoh hari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) serta semua agensi keselamatan yang terlibat dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang lawatan pemimpin tertinggi China itu.
“KDNKA memang tak asing lagi dengan kehebatan menjaga keselamatan negara,” tambahnya.
Lawatan rasmi Xi Jinping ke Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.