Isnin, 21 Julai 2025
UTAMADUNIAPresiden Korea Selatan dilucut jawatan

Presiden Korea Selatan dilucut jawatan

- Advertisement -

SEOUL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan secara rasmi mengekalkan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, menjadikan beliau tidak lagi memegang kuasa sebagai ketua negara berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan bersejarah itu diumumkan pada Jumaat, 4 April, selepas lapan hakim sebulat suara memutuskan bahawa tindakan Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024 melanggar Perlembagaan dan perundangan negara.

Langkah Yoon yang mengisytiharkan undang-undang tentera pada waktu malam mencetuskan krisis politik besar.

Beberapa jam selepas pengisytiharan itu, Parlimen Korea Selatan bertindak membatalkan keputusan tersebut.

Pada 14 Disember, Parlimen sebulat suara meluluskan pemecatan beliau dan menggantung semua tugas rasmi sebagai presiden.

Dalam sesi mahkamah terakhir pada 25 Februari, Yoon mempertahankan tindakannya dengan mendakwa beliau tidak berniat untuk menindas rakyat, sebaliknya hanya mahu merayu kepada rakyat melalui mekanisme undang-undang.

Beliau turut menuduh Parlimen yang dikuasai pembangkang sebagai punca kelemahan dasar kerajaan dan keselamatan negara.

Susulan pemecatannya, Yoon kini berdepan pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan pemberontakan, dengan perbicaraan dijadual bermula 14 April ini.

Pakar politik dari Universiti Kyonggi, Prof. Hahm Sung-deuk, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu bukti jelas bahawa demokrasi Korea Selatan masih kukuh dan berfungsi.

“Sistem perundangan negara membuktikan bahawa kepentingan negara dan demokrasi mengatasi agenda politik,” katanya.

Sementara itu, tinjauan pendapat Gallup Korea bertarikh 28 Mac menunjukkan majoriti rakyat menyokong pemecatan Yoon.

Enam daripada 10 responden menyatakan sokongan terhadap keputusan Parlimen, manakala lebih separuh ingin melihat perubahan pentadbiran daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang diterajui Yoon kepada Parti Demokratik (DP).

Dalam usaha mengekalkan ketenteraman awam, pihak berkuasa keselamatan Seoul telah mengerahkan 14,000 anggota polis untuk mengawal kawasan sensitif termasuk Mahkamah Perlembagaan, kediaman bekas presiden di Itaewon, bangunan Parlimen, dan pusat pentadbiran di Gwanghwamun.

Keputusan ini diumumkan selepas tempoh pertimbangan yang lebih panjang berbanding kes pemecatan dua bekas presiden terdahulu – Park Geun-hye pada 2017 dan Roh Moo-hyun pada 2004 – yang masing-masing mengambil masa hanya 14 hari selepas perbicaraan terakhir.

Dalam tempoh menunggu keputusan, ribuan rakyat Korea turun ke jalanan dalam demonstrasi menyokong dan membantah pemecatan, menjadikan isu ini antara yang paling hangat dalam sejarah politik moden Korea Selatan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA