Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALPRK DUN Ayer Kuning: Dua pusat pengundian awal dibuka serentak pagi ini

PRK DUN Ayer Kuning: Dua pusat pengundian awal dibuka serentak pagi ini

- Advertisement -

TAPAH – Dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dibuka serentak pada pukul 8 pagi ini bagi membolehkan anggota polis dan pasangan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pusat pengundian awal tersebut ialah Dewan Anggerik yang terletak dalam Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

Proses pengundian awal yang melibatkan seramai 582 pengundi berdaftar dalam kalangan anggota polis dan pasangan itu dijadual berlangsung sehingga pukul 12 tengah hari di IPD Tapah, manakala pengundian di PGA Bidor akan diteruskan sehingga pukul 5 petang.

Tinjauan di lokasi pengundian di PGA Bidor mendapati para pengundi mula hadir seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Suasana di pusat pengundian terkawal dengan kehadiran petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pematuhan terhadap garis panduan ditetapkan.

Cuaca di sekitar Tapah ketika ini dilaporkan mendung. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca kekal baik pada sebelah pagi dan awal tengah hari, namun ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah; calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44; serta calon Timbalan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK ini diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning selepas penyandangnya, Datuk Samsudin Abu Hassan, meninggal dunia pada Mac lalu.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN