KUALA LUMPUR – Pasukan e-sukan Politeknik Malaysia yang diwakili oleh lima atlet dari Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara Kejohanan Southern Uni Star e-Sports Tournament 2025 selepas menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perlawanan akhir yang sengit.
Kejayaan manis itu diraikan selepas pasukan PUO menundukkan pencabar utama mereka dengan keputusan 2-1 dalam format Best of 3, sekaligus mengukuhkan dominasi mereka dalam arena e-sukan peringkat institusi pengajian tinggi.
Kejohanan yang berlangsung dengan penuh semangat kompetitif ini dianjurkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama penaja utama Hotlink serta syarikat telekomunikasi ternama seperti Oppo, Realme dan Vivo.
Sebagai juara keseluruhan, pasukan Politeknik Malaysia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, bersama sebuah telefon pintar, jaket edisi terhad Hotlink, pingat, piala kejohanan dan mock cheque sebagai simbol kejayaan mereka.
Sebanyak 64 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini, menjadikannya antara pertandingan e-sukan antara universiti terbesar di peringkat kebangsaan.
Kejayaan pasukan PUO ini bukan sahaja membanggakan institusi mereka, malah menjadi bukti kebolehan dan potensi pelajar politeknik dalam arena e-sukan yang semakin mendapat tempat di hati generasi muda.