IPOH — Usaha memperkukuh hubungan serantau menerusi pendidikan dan khidmat komuniti direalisasikan dengan jayanya melalui Program Pengantarabangsaan: Komuniti, Keilmuan & Teknologi, Penyatuan Ummah Merentasi Sempadan yang menghimpunkan lebih 30 peserta dari Malaysia dalam usaha menyemarakkan nilai kesukarelawanan dan kepakaran teknikal di peringkat antarabangsa.
Program selama tiga hari itu, bermula 20 hingga 22 Jun 2025, merupakan inisiatif anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang dan Kolej Komuniti Gerik, yang berlangsung di dua lokasi utama di Betong, Thailand, Maahad Tahfiz Darul Quran Betong dan Betong Industrial & Community Education College (BICEC).
Antara pengisian utama program ialah aktiviti berimpak tinggi yang menyentuh aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah. Aktiviti tersebut termasuk kerja pendawaian elektrik asas, kerja mencantikkan kawasan persekitaran Maahad Tahfiz, serta sesi perkongsian ilmu dan tazkirah santai bersama pelajar.
Kesemua ini dilaksanakan oleh pelajar dan pensyarah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), membuktikan keupayaan mereka untuk menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat Islam di luar negara.
Pengarah Program, Asmawi Muda @ Othman, berkata inisiatif ini menjadi bukti bahawa pendidikan TVET mampu melangkaui sempadan fizikal dan budaya.
“Program ini merupakan satu platform strategik dalam menyatukan keilmuan, teknologi dan semangat ukhuwah Islamiyah di peringkat antarabangsa. Ia membuktikan bahawa pendidikan TVET mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah sejagat,” katanya.
Lawatan rasmi ke BICEC turut membuka lembaran baharu kerjasama dalam bidang latihan teknikal, mobiliti pelajar, pertukaran akademik serta penyelidikan antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand. Perbincangan dua hala yang berlangsung dijangka memperkukuh hubungan rentas negara yang lebih erat dan berterusan.
Program ini turut memberi sumbangan langsung kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Institusi (KPI) dalam aspek pengantarabangsaan, pembangunan sahsiah pelajar serta keterlibatan komuniti global.
Ia selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berakhlak mulia dan berpandangan global.
Majlis penutupan yang disempurnakan dalam suasana penuh muhibah turut menyaksikan penghargaan daripada wakil Maahad Tahfiz Darul Quran Betong, yang menyifatkan program ini sebagai “lambang keprihatinan Malaysia terhadap pembangunan komuniti Islam serantau.”
Dengan impak sosial yang tinggi, jalinan kerjasama rentas negara yang kukuh, serta nilai kemanusiaan yang disemai dalam kalangan peserta, program ini mencipta sejarah tersendiri dan membuka dimensi baharu dalam usaha pengantarabangsaan pendidikan TVET Malaysia.