Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANQistina Raisah nafi terlibat video lucah, dakwa wajah disunting guna AI

Qistina Raisah nafi terlibat video lucah, dakwa wajah disunting guna AI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Pelakon remaja Qistina Raisah akhirnya tampil menjelaskan bahawa video lucah yang didakwa melibatkan dirinya sebenarnya merupakan hasil suntingan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Qistina, atau nama penuhnya Nur Qistina Raisah Mohd Kamarolazari, 17, berkata dia memilih untuk berdiam diri selama hampir setahun kerana bimbang tiada siapa yang akan mempercayainya memandangkan teknologi AI ketika itu masih baharu.

“Saya dah simpan lama perkara ini. Video itu bukan saya. Ia telah disunting dan wajah saya dimanipulasi untuk menjatuhkan maruah saya,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok.

Tambahnya lagi, video berunsur lucah tersebut bukan sahaja disebarkan, malah turut dijual melalui platform aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.

Qistina mengakui tindakan tidak bermoral itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut menjejaskan emosi ahli keluarganya, terutamanya ibunya.

“Sebagai anak, saya cuba jadi yang terbaik. Bila mak saya tengok video-video itu, mestilah saya rasa sedih. Saya sedar saya bukan insan sempurna, tapi saya tidak akan maafkan sesiapa yang sunting dan jual video itu,” ujarnya tegas.

Beliau turut menegaskan bahawa mereka yang menyebarkan fitnah sedemikian tidak akan terlepas daripada balasan Tuhan.

“Satu awak buka aib orang, satu aib awak Tuhan akan buka di dunia dan akhirat. Apa yang kita buat pada orang, akan berbalik pada kita,” katanya lagi.

Qistina turut menyeru orang ramai agar lebih peka terhadap bahaya teknologi manipulasi wajah, dan berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku penyebaran bahan lucah palsu menggunakan teknologi AI.

@qqistinaraisah

♬ original sound – QR
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN