Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANRamadan dan Aidilfitri tahun ini terasa kosong tanpa mama - Syazani Zikry

Ramadan dan Aidilfitri tahun ini terasa kosong tanpa mama – Syazani Zikry

- Advertisement -

SUBANG JAYA – Pelakon filem Sazali Meor Coco, Syazani Zikry, mengakui sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini amat berbeza tanpa kehadiran ibunya yang meninggal dunia tahun lepas.

Menurutnya, Ramadan kali ini menjadi fasa yang mencabar dalam menyesuaikan diri berpuasa tanpa insan tersayang di sisi.

“Memang sangat sukar untuk saya dan keluarga. Ini kali pertama kami berpuasa dan beraya tanpa arwah mama. Rasa seperti tidak mahu menyambutnya langsung, tetapi hidup mesti diteruskan. Kami masih dalam fasa kesedihan dan penyesuaian,” katanya ketika ditemui pada majlis moreh bersama anak-anak yatim di Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) malam tadi.

Syazani turut berkongsi kenangan manis bersama ibunya, terutama hidangan istimewa yang sering disediakan setiap kali lebaran.

“Setiap tahun, arwah mama pasti akan menyediakan lontong dan kuah lodeh, hidangan yang sangat bermakna buat kami. Tahun ini, kehilangan itu terasa amat mendalam kerana tiada lagi air tangan beliau,” ujarnya.

Mengenai persiapan Aidilfitri, Syazani berkata keluarganya akan menyambut secara sederhana.

“Suasana raya pasti berbeza tanpa mama. Semangat untuk beraya pun berkurang, tetapi kami tetap meneruskan sambutan dengan niat mengenang dan mendoakan beliau,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai soal jodoh, Syazani menjelaskan bahawa perkahwinan bukan sesuatu yang ditolak, namun buat masa ini dia lebih memberi keutamaan kepada kerjaya dan keluarga.

“Saya tidak menolak, tetapi buat masa sekarang saya ingin fokus pada kerjaya dan keluarga. Jika ada jodoh pada masa depan, mengapa tidak?” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Syazani baru sahaja menamatkan penggambaran sebuah telefilem dan drama bersama RTM. Selain itu, sebuah filem lakonannya dijangka menemui penonton di pawagam tahun ini, manakala sebuah lagi drama bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta tidak lama lagi.

Selain sibuk dengan dunia lakonan, Syazani turut aktif dalam kerja kebajikan, khususnya bersama Latifah Hassan, sebuah organisasi penyedia makanan untuk anak-anak yatim dan golongan asnaf.

Seramai 25 orang anak yatim di Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) disantuni. (Foto Adam Hafiz Ahmad)

“Ini kali pertama saya berkolaborasi dengan Latifah Hassan, yang menyediakan makanan untuk anak-anak yatim. Saya baru sahaja dilantik sebagai duta mereka dan berharap inisiatif ini dapat diteruskan bagi membantu anak-anak yatim menikmati makanan yang lebih pelbagai,” katanya.

Menurutnya, program moreh yang dianjurkan itu juga merupakan hasil usaha bersama kelab peminatnya, Shazik Souls.

“Pada bulan Ramadan ini, saya percaya kita perlu berkongsi rezeki kerana apa yang kita ada juga merupakan rezeki untuk orang lain,” jelasnya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN