KUCHING – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru, Januari lalu.
Tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan memandu tanpa lesen kerana masih di bawah umur.
Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, yang menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, serta Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu di bawah umur.
Dalam kejadian pada 14 Januari lalu, kereta dipandu remaja tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua kenderaan dan dua motosikal.
Empat mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, bapa kepada remaja terbabit yang berusia 35 tahun turut mengaku bersalah kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dikenakan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, selain diarahkan menjalani kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.