SABAK BERNAM – Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini selepas mengaku bersalah membuang mayat bayi ke dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak, bulan lalu.
Tertuduh, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyembunyikan kelahiran bayi secara rahsia dengan membuang mayat ke dalam tandas wanita di Stesen Minyak Petronas, Kampung Sungai Haji Dorani, sekitar jam 11 pagi pada 23 Mac lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan penemuan mayat bayi dalam tandas wanita di stesen minyak terbabit dan siasatan melalui rakaman CCTV mendapati dua wanita tiba di lokasi menaiki kereta Perodua Bezza, salah seorang daripadanya sedang mengandung.
Tertuduh kemudian mengaku tidak sedar dirinya mengandung dan menyangka hanya mengalami sakit senggugut.
Ketika berada dalam tandas, bayi itu dilahirkan secara tiba-tiba dan jatuh ke dalam lubang tandas.
Remaja itu turut memberitahu polis bahawa dia mengandung selepas dirogol oleh lelaki yang baru dikenalinya namun tidak melaporkan kejadian kerana takut.
Dia ditahan polis di Meru, Klang dua hari selepas kejadian.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd Muqri Mohd Khairi, merayu hukuman ringan dikenakan kerana tertuduh masih disara oleh ibunya yang berpendapatan rendah dan ini merupakan kesalahan pertama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai atas tindakan yang disifatkan menyayat hati.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh sabitan dan denda RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
“Hukuman ini mengambil kira usia tertuduh yang masih muda dan kesalahan pertamanya, di samping menjadi pengajaran kepada orang ramai,” kata Majistret Siti Hajar.