JELI – Seorang remaja putus jari tangan kiri manakala dua rakannya melecur pada bahagian badan selepas terkena letupan mercun buatan sendiri dalam kejadian di asrama sebuah sekolah agama di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, ketiga-tiga pelajar berusia 15 dan 16 tahun terbabit segera dihantar ke Hospital Jeli bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.48 petang selepas dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga pelajar tersebut telah memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan bahan letupan. Malangnya, mercun itu meletup secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Superintendan Kamarulzaman turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau aktiviti anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang. Pihak polis juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bahan yang digunakan dalam pembuatan mercun berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan memiliki atau membuat mercun secara haram adalah satu kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.