KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda 13 negeri di seluruh negara sehingga jam 7 malam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, antara negeri terlibat termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka serta beberapa daerah di Perak seperti Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Selangor pula dijangka mengalami hujan lebat di kawasan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Johor tidak terkecuali dengan amaran yang membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Mersing, manakala cuaca buruk turut diramalkan melanda seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Negeri-negeri lain yang turut terjejas termasuk, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin), Sarawak dan Sabah.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk berwaspada, menghentikan sebarang aktiviti luar ketika cuaca buruk dan mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui saluran rasmi mereka.