KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini Mokhtar, 49, menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Arau, semalam.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang seni lakon serta penglibatan aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang hampir 28 tahun bergelar anak seni.
Menurut Rita, pengiktirafan tersebut sangat bermakna bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk dua anak lelakinya dan semua pihak yang selama ini menyokong perjalanan seninya.
“Ini adalah penghormatan terbesar bukan hanya untuk diri saya, tetapi buat anak-anak serta semua pihak yang sentiasa menyokong saya. Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan ini,” katanya.
Rita turut menyatakan bahawa anugerah tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya secara jujur, ikhlas dan berintegriti.
“Ini juga menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas pasti ada nilainya. Saya harap pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada anak seni lain untuk terus dedikasi dan menjaga maruah profesion sebagai insan seni,” katanya lagi.
Rita juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis, penerbit, pengarah serta semua yang terus mempercayai bakat dan kredibilitinya sebagai pelakon.
“Insya-Allah, akan ada banyak lagi aktiviti bersama kerajaan negeri selepas ini,” tambahnya.
Anugerah ini sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya seni Rita Rudaini yang terkenal dengan pelbagai watak ikonik dalam dunia lakonan tanah air.