- Advertisement -
 |
Rosyam Nor berharap masyarakat dapat melihat mesej sebenar yang ingin disampaikan melalui drama tersebut. |
KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Rosyam Nor, menganggap kritikan hebat yang diterimanya susulan babak kontroversi dalam drama Keluarga Itu sebagai satu petanda positif yang menunjukkan lakonannya berjaya memberi kesan kepada penonton.
Tidak gentar dengan kecaman yang dilemparkan di media sosial, Rosyam, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, berharap masyarakat dapat melihat mesej sebenar yang ingin disampaikan melalui drama tersebut.
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai pelakon supaya orang memahami apa yang tersirat dalam cerita ini. Kalau bercakap soal kecaman, kami sebagai pelakon sudah lali dengannya, sama ada melakukan perkara baik atau buruk,” katanya kepada pemberita.
Rosyam juga menegaskan bahawa isu yang dipaparkan dalam Keluarga Itu memang wujud dalam realiti masyarakat dan tidak seharusnya disembunyikan.
“Ini adalah untuk generasi akan datang. Susah kalau kita nak sorokkan perkara itu. Hiburan juga merupakan platform untuk menyampaikan dakwah dan pengajaran kepada masyarakat,” tambahnya ketika ditemui pada Sidang Media dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025 yang berlangsung di Bandar Utama malam tadi.
Drama Keluarga Itu yang disiarkan di Astro mendapat perhatian ramai selepas memaparkan satu babak yang dianggap sensitif oleh segelintir penonton. Namun, Rosyam menegaskan bahawa elemen tersebut diperlukan bagi menyampaikan realiti kehidupan sebenar.
Iklan