Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASARundingan kontrak Pearly-Thinaah masih buntu, keputusan selepas Indonesia

Rundingan kontrak Pearly-Thinaah masih buntu, keputusan selepas Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Isu kontrak antara gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memasuki fasa baharu apabila pasangan itu dijangka mengadakan rundingan rasmi dengan badan induk tersebut selepas berakhirnya Kejohanan Terbuka Indonesia dari 3 hingga 8 Jun ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, yang memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada pertemuan rasmi diadakan namun kedua-dua pemain telah menyatakan kesediaan untuk berunding selepas kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

“Kita belum sempat berjumpa dengan mereka. Tapi mereka ada nyatakan hasrat untuk berunding selepas Terbuka Indonesia,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam, menyatakan bahawa rundingan kontrak Pearly-Thinaah dijangka dimuktamadkan selepas saingan Terbuka Thailand minggu lalu, di mana pasangan tersebut muncul juara.

Kontrak semasa pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu bersama BAM telah tamat pada Disember lalu. Sehingga kini, proses rundingan lanjutan masih belum menemui kata putus, difahamkan kerana pasangan itu mahukan syarat baharu yang lebih baik sekiranya mereka ingin kekal bersama BAM.

Terdapat juga laporan bahawa Pearly-Thinaah sedang menimbangkan untuk bergerak secara profesional, satu langkah yang membolehkan mereka mengatur haluan kerjaya secara bebas di luar struktur BAM.

Sementara itu, mereka kini sedang beraksi dalam kejohanan Terbuka Singapura 2025 dan dijadualkan menentang pasangan dari Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan, pada pusingan pertama esok.

Keputusan perbincangan selepas Terbuka Indonesia nanti dijangka menjadi penentu besar kepada hala tuju karier pasangan beregu utama negara ini dalam menghadapi baki musim 2025 dan seterusnya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN