KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) selepas berkhidmat selama enam tahun sejak 2019.
Menurut Safee, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah namun beliau merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada generasi muda memimpin persatuan serta membawa idea dan perspektif baharu demi pembangunan bola sepak negara.
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur dan memberi peluang kepada generasi muda memimpin. Saya yakin memperkenalkan perspektif baharu dan idea-idea inovatif penting untuk pembangunan bola sepak secara global,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Instagram rasmi beliau hari ini.
Safee turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang memegang jawatan tersebut dan berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai bersama PFAM sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Satu penghormatan dapat berkhidmat dalam jawatan ini dan saya bangga dengan segala pencapaian yang telah kita raih bersama sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Tanggungjawab saya sebagai presiden PFAM sudah selesai setakat ini sejak 2019 hingga hari ini,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan baharu PFAM yang menurutnya akan membawa semangat dan perubahan positif hasil kecintaan mereka terhadap bola sepak tanah air.
Safee menzahirkan harapan agar PFAM terus maju sebagai sebuah badan yang memperjuangkan kebajikan dan suara pemain bola sepak profesional di Malaysia selaras dengan perkembangan bola sepak global masa kini.