KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Guru merupakan acara tahunan yang amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh warga pendidik, malah turut disambut penuh makna oleh ibu bapa, pelajar dan seluruh masyarakat sebagai tanda penghargaan kepada insan bergelar guru.
Setiap tahun, 16 Mei diraikan sebagai simbol pengiktirafan kepada jasa dan pengorbanan para guru yang saban hari mencurah ilmu, membentuk akhlak serta membimbing generasi masa depan negara.
Bersempena Hari Guru 2025, tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” telah dipilih, selari dengan cabaran semasa serta aspirasi negara dalam memperkukuh sistem pendidikan yang lebih progresif dan inklusif. Tema ini menggambarkan peranan guru sebagai ejen perubahan yang mendukung transformasi pendidikan sejajar dengan perkembangan global.
Nilai Sejarah 16 Mei
Tarikh 16 Mei bukan sekadar simbolik, malah mempunyai nilai sejarah yang penting. Pada tarikh yang sama pada tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima Laporan Razak, dokumen penting yang menjadi asas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan. Justeru itu, sejak tahun 1972, 16 Mei dipilih sebagai tarikh rasmi sambutan Hari Guru di seluruh negara.
Sarawak Tuan Rumah Peringkat Kebangsaan
Tahun ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Pelbagai acara dan program menarik telah dirancang sekitar bandar raya Kuching bermula dari 14 hingga 16 Mei, bagi memeriahkan lagi sambutan yang penuh bermakna ini.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 16 Mei 2025, dengan majlis pelancaran rasmi di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK). Acara ini dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan Malaysia, dengan kehadiran ribuan warga pendidik dari seluruh negara.
Antara pengisian menarik yang dijadualkan termasuklah forum pendidikan, pameran inovasi guru, penyampaian anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, serta persembahan kebudayaan oleh pelajar tempatan.
Sambutan ini bukan sekadar perayaan, tetapi turut menjadi platform untuk menghargai dedikasi guru dan membincangkan hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan.
Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di seluruh negara. Terima kasih, cikgu!