Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHSarjan tentera direman tujuh hari disyaki cabul pelajar MRSM

Sarjan tentera direman tujuh hari disyaki cabul pelajar MRSM

- Advertisement -

MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, minggu lalu.

Perintah reman sehingga 20 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun tersebut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 11 Mei lalu selepas ibu mangsa, 33, memeriksa telefon bimbit anaknya bagi mengakses emel dan mengawal penggunaan peranti tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat perbualan mencurigakan antara mangsa dan suspek, yang juga merupakan jiran mereka,” katanya.

Difahamkan, mangsa mula mengenali suspek sejak Januari lalu selepas kerap bertemu di kawasan taman permainan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru. Mereka semakin rapat selepas kerap berhubung melalui aplikasi WhatsApp, malah mangsa turut mengaku pernah keluar beberapa kali bersama lelaki terbabit.

Pada 4 Mei lalu, suspek dipercayai menjemput mangsa yang menuntut di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka tanpa pengetahuan ibunya, selepas mendapat kebenaran keluar (outing) dari pihak sekolah.

“Suspek membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum didakwa bertindak mencabul remaja tersebut di dalam kereta,” ujar sumber itu lagi.

Susulan pengakuan mangsa, ibunya segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membawa anaknya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN