NILAI – Penyanyi dan personaliti media sosial, Syameer Azmi, 24, mendedahkan bahawa dia sering menerima mesej-mesej peribadi berunsur pelik di media sosial termasuk yang berbaur tidak senonoh.
Menurutnya, dia tidak mahu terlibat dalam perkara negatif dan menegaskan bahawa dia bukanlah individu seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.
“Saya selalu dapat mesej yang tak sepatutnya, pelik-pelik dalam DM. Saya tengok saja, tapi tak pernah layan. Kalau kita layan, lagi mereka suka. Jadi, lebih baik saya diam saja,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa anjuran Cats Studio di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.
“Saya ingat, mereka ingat saya ni siapa? Saya bukan anak ikan, faham tak? Saya straight! Tapi saya banyak dapat mesej macam tu. Saya tak layan, saya biarkan saja,” tegasnya.
“Dah Pernah Kena Tipu, Sekarang Saya Lebih Berhati-hati”
Syameer turut berkongsi pengalamannya pernah ditipu dalam industri hiburan yang membuatkan dia kini lebih berhati-hati dalam memilih tawaran kerja.
“Saya tak akan sesuka hati ambil job. Saya kena pastikan butiran kerja dulu. Saya sendiri pernah kena tipu, bukan saya seorang, ramai rakan lain pun pernah mengalaminya. Tapi sekarang, saya lebih berhati-hati,” jelasnya.
Selepas hampir dua tahun menyepi, Syameer kini kembali dengan lagu raya terbaharu hasil ciptaan Kael Abdul, bertajuk Hey Raya.
“Saya ambil masa setahun untuk berehat dan sekarang saya kembali dengan lagu baru. Saya juga sedang meneroka peluang bersama syarikat label lain untuk memahami bagaimana cara mereka beroperasi,” katanya.
Dia turut menyatakan keselesaannya bekerja dengan rakan baiknya, Muaz yang telah dikenali sejak zaman sekolah.
“Saya dan Muaz dah berkawan lebih 10 tahun. Bila bekerja dengan dia, saya rasa selesa dan enjoy, terutama masa rakaman dan penggambaran muzik video,” katanya.
Selain fokus kepada muzik, Syameer juga terkenal dengan kandungan di media sosial, termasuk temu bual mengenai isu lelaki dan perempuan yang tidak disangka-sangka menjadi tular.
“Sebenarnya, soalan tentang lelaki atau perempuan lebih buaya itu saya buat sekadar untuk promosi lagu. Tak sangka pula content temu bual itu yang meletup. Bila peminat suka, saya fikir, kenapa tidak teruskan?” katanya sambil tertawa.
Dengan semangat dan karya baharu yang dilancarkan, Syameer berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada perjalanan seninya.