Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKSKLUSIF‘Saya menyesal, tapi masa tak boleh diputar’

‘Saya menyesal, tapi masa tak boleh diputar’

- Advertisement -

SEREMBAN – Seorang banduan yang kini menjalani hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin meluahkan kekesalan kerana tidak dapat melihat anaknya membesar akibat kesalahan samun bersenjata yang dilakukan 12 tahun lalu.

Jamil (bukan nama sebenar), 32, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan selepas disabitkan bersalah pada tahun 2013. Kini, dia hanya menunggu masa untuk dibebaskan pada Oktober tahun ini.

“Saya melakukan kesalahan itu pada usia 21 tahun sebelum ditangkap pada umur 23 tahun. Saya lawan kes di mahkamah lebih setahun sebelum disabitkan bersalah. Ketika itu, anak saya baru berusia dua bulan. Jika boleh undur masa, saya pasti tidak akan terjebak walaupun dipengaruhi kawan,” katanya kepada MYBERITA.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu bersyukur kerana isteri dan keluarganya tidak membuangnya meskipun dia pernah melakukan kesalahan besar.

“Banyak pengajaran yang saya dapat sepanjang berada dalam penjara. Selepas ini, kalau nak buat sesuatu, saya akan fikir dahulu baik buruknya.

“Kesalahan jenayah bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga memberi kesan buruk kepada keluarga terutama isteri, anak-anak, serta ibu bapa kita,” ujarnya.

Tambah Jamil, pengalaman bekerja dalam sektor perkilangan sepanjang dua tahun kebelakangan ini membantunya menjana pendapatan yang sedikit sebanyak membantu keluarganya di luar.

“Insya-ALLAH, RM12,500 yang saya beri ini adalah sebahagian daripada simpanan hasil kerja saya. Saya mahu membantu keluarga dan selebihnya saya akan gunakan untuk memulakan hidup baharu selepas keluar nanti,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bekerja dalam sistem PRPI dianggap sebagai persediaan untuknya kembali ke masyarakat dan membina kehidupan yang lebih baik selepas menjalani hukuman penjara.

Jamil ditemui pada Program Bersahur Yayasan Negeri Sembilan Bersama Orang Diselia (ODS) di PRP Mantin pada Selasa. Pada majlis sama, beliau menyerahkan hasil pendapatannya sebanyak RM12,500 kepada isterinya sebagai persedian persiapan menjelang Aidilfitri.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Nazri Kassim serta Komisioner Penjara, Hafiz Othman.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN