KUALA LUMPUR – Komposer dan penerbit terkenal Ajai tampil memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya sebelum ini mengenai isu hak cipta lagu kumpulan 4U2C.
Permohonan maaf itu dikongsikan menerusi satu kenyataan di Instagram miliknya, pada malam Rabu.
Dalam kenyataan tersebut, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas menjelaskan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir dan tidak pernah berniat untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya atau menganjurkan konsert.
“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya sebelum ini berkenaan konsert 4U2C. Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf.
Ia bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya.
Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah. Terima kasih.” – tulis Ajai.
Sebelum ini, AC Mizal meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Ajai yang seolah-olah mempertikaikan hak kumpulan 4U2C untuk menganjurkan konsert WE 4U2C Live In Concert pada 15 September depan.
AC mendakwa kenyataan tersebut boleh menjejaskan periuk nasi mereka, selain menyifatkan Ajai sebagai individu yang tidak memahami perundangan muzik di Malaysia.
Dalam pada itu, Ajai turut menegaskan bahawa beliau tidak berniat mencetuskan sebarang konflik dan menyerahkan isu hak cipta lagu 4U2C kepada pihak berkuasa dan pemilik sah untuk menyelesaikannya secara profesional.
Konsert WE 4U2C Live In Concert tetap akan diteruskan selepas mendapat permit rasmi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) di bawah Akta Hak Cipta Malaysia 1987.