SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor, tampil mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu memboikot perniagaannya, ST Rosyam Mart, susulan aksi lakonannya dalam sebuah drama yang dianggap keterlaluan dan tidak dapat diterima oleh penonton.
Menurut Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, meskipun isu boikot tular di media sosial, perkara itu tidak menjejaskan perniagaannya. Sebaliknya, ia memberi kesan positif dengan meningkatkan lagi populariti jenama tersebut.
“Saya bersyukur kerana dalam keadaan orang bercakap mahu boikot, mereka sebenarnya membantu mempromosikan perniagaan saya. Ada yang sebelum ini tidak mengenali ST Rosyam Mart, tetapi kini mereka tahu kewujudannya,” katanya ketika ditemui MYBERITA di Majlis Berbuka Puasa bersama barisan pelakon dan produksi drama Keluarga Itu.
Tambahnya, ketika pembukaan rasmi ST Rosyam Mall di Klang, lebih 10,000 pengunjung hadir manakala sambutan terhadap cawangan lain juga amat menggalakkan.
“Alhamdulillah, outlet saya di tempat-tempat lain juga penuh. Ini membuktikan masyarakat bukan sahaja mengenali saya sebagai pelakon, tetapi juga sebagai usahawan,” ujarnya.
Lakonan Berkesan Sehingga Dikecam
Dalam pada itu, Rosyam turut mengulas mengenai wataknya dalam drama Keluarga Itu, yang menerima pelbagai reaksi kerana membawa peranan antagonis bernama Iman.
Menurutnya, kecaman yang diterima merupakan tanda kejayaan kerana penonton benar-benar membenci watak tersebut sehingga membuktikan keberkesanan lakonannya.
“Jika watak Iman tidak menimbulkan kebencian, cerita ini tidak akan berjalan dengan baik. Cabaran utama saya ialah menyampaikan mesej kepada penonton melalui ekspresi dan metafora halus, seperti hanya menggigit bibir atau mengambil tisu, tanpa perlu menunjukkan emosi berlebihan,” jelasnya.
Watak Iman yang mengangkat tema haruan makan anak menjadi topik hangat sebelum Ramadan dan masih diperkatakan hingga kini. Bahkan, ramai peminat meminta Rosyam melakonkan semula babak tersebut ketika bertemu dengannya di luar.
“Saya sendiri pada awalnya bimbang kerana watak ini sangat berat. Tetapi, dengan bimbingan penulis skrip, Erma Fatimah, dan arahan Ain, saya berjaya membawakan karakter ini dengan baik,” katanya.
Pengajaran daripada Keluarga Itu
Rosyam turut menekankan mesej utama drama tersebut iaitu kepentingan pegangan agama dalam membentuk institusi keluarga yang stabil.
“Dalam cerita ini, Iman dan isterinya, Cempaka, mengamalkan hubungan terbuka (open relationship) walaupun sudah berkahwin. Mereka masih keluar dengan pasangan lain, dan akhirnya rumah tangga mereka musnah.
“Suami adalah tonggak keluarga. Jika tiada pegangan agama yang kuat, institusi keluarga akan menjadi kucar-kacir. Itulah mesej yang ingin kami sampaikan dalam drama ini,” jelasnya.
Drama Keluarga Itu terus mencuri perhatian dengan watak Iman kini dianggap sebagai antara antagonis paling berkesan dalam industri drama tempatan.