KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelang hari Jumaat, kita sering diingatkan tentang keberkatan hari yang mulia ini iaitu penghulu segala hari.
Dalam kesibukan mengejar urusan dunia, Jumaat hadir sebagai satu ruang untuk memperbaharui jiwa, memperkukuh amal dan memperbanyakkan kebaikan. Salah satu amalan yang paling digalakkan pada hari ini ialah bersedekah.
Sedekah Jumaat bukan sekadar memberi wang ringgit di tabung masjid atau kepada insan memerlukan. Ia adalah manifestasi kasih sayang dan keprihatinan sesama manusia. Ia juga tanda syukur atas nikmat yang tidak terhitung. Apa jua yang kita hulurkan samaada makanan, masa, tenaga mahupun senyuman, semuanya dikira sebagai sedekah.
Menariknya, ramai masyarakat kini mengambil peluang pada hari Jumaat untuk melakukan ‘projek sedekah’ secara berkumpulan.
Ada yang menganjurkan edaran makanan percuma, membiayai sarapan jemaah masjid, atau menyumbang barangan asas kepada keluarga yang memerlukan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja meringankan beban, malah menyemai nilai ihsan dalam komuniti.
Bagi mereka yang berniaga, amalan sedekah pada hari Jumaat juga sering dikaitkan dengan limpahan rezeki. Prinsipnya mudah, lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita menerima. Walaupun tidak semestinya dalam bentuk wang, keberkatan dan ketenangan hati yang hadir selepas bersedekah adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli.
Sebagai masyarakat yang semakin maju, jangan biarkan nilai memberi ini terpinggir dalam arus kemodenan. Jadikan Jumaat sebagai hari kita memberi, bukan sekadar menunggu untuk menerima. Sekecil mana pun sumbangan, ia mampu membawa sinar besar kepada yang memerlukan.
Marilah kita suburkan budaya sedekah ini bukan hanya pada hari Jumaat, tetapi jadikan Jumaat sebagai permulaan untuk berbuat baik sepanjang minggu.