Isnin, 21 Julai 2025
UTAMASEMASAShah Firdaus pulang beraya di kampung selepas sedekad

Shah Firdaus pulang beraya di kampung selepas sedekad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas sedekad menyambut Aidilfitri di perantauan kerana tuntutan kerjaya, pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akhirnya berpeluang pulang ke kampung halaman di Muar, Johor tahun ini untuk meraikan lebaran bersama keluarga.

Namun, kepulangannya selepas memenangi emas keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye baru-baru ini disertai dengan perasaan yang sukar digambarkan, seolah-olah janggal menyertai kemeriahan Aidilfitri di tanah air selepas sekian lama.

“Selalu tak beraya, bila dapat beraya rasa pelik tapi keluarga semua gembira sebab sudah lama tak beraya bersama. Kita pun tak tahu bagaimana tahun hadapan sebab dah mula berlatih semula, jadi memang tak sabar balik kampung nak menikmati masakan ibu.

“Tak sabar nak rasa kuah lodeh, ayam masak merah, daging kari dan banyak lagi. Bila cakap macam ini pun saya dah boleh bayangkan rasanya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu turut berkongsi pengalaman berbeza Ramadan kali ini, apabila dia seakan ‘gila’ berbelanja di bazar Ramadan selepas sekian lama tidak berpeluang merasai suasana tersebut.

“Saya dah pergi bazar di Malaysia, sekarang pasukan berbasikal tinggal di Nilai (Negeri Sembilan). Memang itu yang saya cari sebab dah 10 tahun tak merasa suasana bazar. Saya siap pusing dua hingga tiga kali dalam bazar sama sebab terlalu teruja sampai tak tahu nak beli apa, akhirnya beli semua benda!” katanya.

Dalam kesibukan menyambut perayaan, Muhammad Shah Firdaus tetap memberi tumpuan kepada pemulihan kecederaan lutut kanannya dengan harapan dapat kembali ke tahap terbaik menjelang Kejohanan Dunia, Oktober ini.

“Sepatutnya cedera hari itu saya kena rehat sepenuhnya daripada latihan dan gim. Tapi sebab persiapan kejohanan, saya tetap jalani latihan tanpa henti.

“Selepas tamat perlumbaan dan menang emas acara keirin hari itu, memang rasa lutut agak bengkak. Saya pun tak boleh melutut jadi memang perlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Pada perlumbaan di Kejohanan UCI Turkiye, Muhammad Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memintas pencabarnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.

Kejayaan tersebut merupakan emas pertama yang dimenanginya dalam kejohanan UCI, sekali gus menjadi pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA