Selasa, 8 Julai 2025
UTAMASEMASAShah Firdaus terajui misi emas Sukan Asia 2026

Shah Firdaus terajui misi emas Sukan Asia 2026

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketiadaan ikon berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam skuad kebangsaan membuka laluan buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom menggalas tanggungjawab sebagai tonggak utama skuad trek negara bagi menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keyakinan terhadap kemampuan Shah Firdaus semakin memuncak susulan kejayaannya menjuarai acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye, bulan lalu.

“Sandaran utama kita pastinya pada acara trek. Shah dan Izzah (Nurul Izzah Izzati Mohd Asri) menjadi harapan besar negara untuk membawa pulang emas di Sukan Asia akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Jersi Rasmi antara Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ISports Wear, kelmarin.

Tambah beliau, pemilihan atlet bagi acara lebuh raya pula akan dilakukan dalam masa terdekat berdasarkan prestasi semasa pelumba.

Pada edisi terdahulu di Hangzhou 2022, kem berbasikal negara membawa pulang empat pingat gangsa Shah Firdaus dalam acara keirin dan pecut individu, trio lelaki (Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom, dan Muhammad Fadhil Zonis) dalam acara pecut berpasukan, serta trio wanita (Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dan Anis Amira Rosidi) dalam acara pecut berpasukan wanita.

Sementara itu, Amarjit turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan esok bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihak PKBM serta Azizulhasni sendiri bagi menjawab teka-teki mengenai masa depan pelumba berpengalaman itu yang sebelum ini gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN