Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANShukri Yahya istiqamah jaga batas, tolak babak pegang tangan pelakon wanita

Shukri Yahya istiqamah jaga batas, tolak babak pegang tangan pelakon wanita

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Pelakon popular, Shukri Yahya meluahkan rasa syukur apabila penampilan terbaharu isterinya, Tya Adnan yang kini berniqab mendapat sambutan dan respon positif daripada peminat di media sosial.

Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya, 36, berkata dia bertekad untuk terus istiqamah dalam menjaga batas pergaulan terutama ketika menjalani penggambaran, demi menghormati isteri dan keluarganya.

“Rasanya dah tak ada saya berlakon pegang tangan (pelakon wanita). Tapi harapnya la saya terus istiqamah, terus menjaga hati isteri saya dan keluarga. Doakan la juga untuk saya,” ujarnya kepada MYBERITA ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga di GSC IOI City Mall, Putrajaya, malam Isnin.

Dalam masa sama, Shukri turut menyentuh mengenai sambutan positif yang diterima oleh keluarganya, khususnya ketika beliau berkongsi foto Aidilfitri bersama isteri dan anak-anak baru-baru ini.

Menurut pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu, beliau percaya pujian yang diterima adalah tanda rindu peminat terhadap keluarganya yang jarang dikongsi di media sosial.

“Saya jarang kongsi mengenai keluarga di laman sosial. Jadi, raya lah waktu sesuai untuk saya kongsikan. Bagi saya, pujian itu mungkin sebab orang nak luah rasa rindu nak tengok keluarga saya.

“Saya tak anggap pujian itu secara negatif. Selain pujian, ada juga komen yang bagi saya tak perlu komen pun tak apa. Tapi saya okay saja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai gelaran ‘lelaki paling setia’ yang sering dikaitkan dengannya, Shukri berkata dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang harus dibanggakan.

“Saya tak pernah bangga (dilabel sebagai lelaki setia) dan tak anggap ia sesuatu yang bagus pun. Saya sentiasa mengingatkan diri, apa pun saya buat, apa yang saya lakukan, saya akan ingat keluarga.

“Saya akan ingat isteri dan anak-anak. Apa pun jadi, apa yang saya buat akan beri kesan kepada keluarga saya. Jadi, saya tak nak perkara itu terjadi,” katanya jujur.

Sementara itu, penampilan sopan Tya turut mencuri tumpuan warganet yang rata-ratanya menyatakan rasa kagum dan berharap Shukri akan terus menjaga batas pergaulan dalam dunia lakonan.

Untuk perkembangan terbaharu, Shukri bakal muncul sebagai Fadlan dalam filem aksi terbaharu arahan Syafiq Yusof, Blood Brothers: Bara Naga yang akan ditayangkan di 146 pawagam seluruh negara bermula Khamis ini.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN