JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian pinggang selepas kenderaan yang dinaikinya melanggar sebuah kereta dalam kejadian yang berlaku pada Selasa.
Insiden itu dirakam dalam sebuah video yang tular di media sosial, menunjukkan sebuah kenderaan berwarna gelap berada di lorong kanan ketika trafik dalam keadaan perlahan.
Kenderaan tersebut kemudiannya membuat tindakan mengejut dengan menukar lorong ke lorong tengah tanpa memberikan sebarang isyarat.
Akibat tindakan melulu itu, sebuah motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kenderaan terbabit. Perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke jalan raya sebelum bangun dan bergerak ke penghadang jalan untuk menenangkan diri. Berdasarkan rakaman, mangsa dilihat mengalami kecederaan di bahagian pinggang.
Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Beberapa individu yang berada di lokasi turut membantu mangsa bagi memastikan keadaannya dalam keadaan stabil.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada insiden itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Tindakan menukar lorong tanpa memberikan isyarat yang jelas merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. Semua pemandu dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan menggunakan isyarat dengan betul bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.