KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan usahawan kosmetik, Siti Jamumall kembali menjadi tumpuan apabila diceraikan talak dua oleh suaminya, Aiman Tak Kisah, dalam siaran langsung TikTok yang disaksikan hampir 25,000 penonton tengah malam tadi.
Kejadian mengejutkan itu berlaku hanya dua minggu selepas pasangan ini kembali rujuk susulan penceraian terdahulu yang pernah dilaporkan.
Ketika siaran langsung, pertengkaran antara Siti, 26, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, dan suaminya Khairul Aiman Abdul Kuddus memuncak apabila Siti mempersoalkan kewarasan suaminya dan mengaitkan isu dadah.
“Otak kau okay ke tidak, atau sebab dadah kau jadi macam ini?” soal Siti dengan nada marah.
Tersentak dengan tuduhan tersebut, Aiman tanpa berlengah melafazkan cerai sebanyak tiga kali di hadapan ribuan penonton
“Oh sebab dadah pula? Baik. Aku ceraikan Siti Suriani binti Wahiddin dengan talak dua. Jumpa di mahkamah,” katanya dengan tegas.
Siti yang terkejut dengan tindakan itu dilihat menggigil dan menangis sebelum ditenangkan oleh dua lelaki dipercayai ahli keluarganya, lalu menamatkan siaran langsung tersebut.
Pasangan ini sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila bertengkar secara terbuka dalam satu lagi siaran langsung yang juga tular, sehingga membawa kepada penceraian sebelum mengambil keputusan untuk rujuk dalam tempoh kurang 24 jam.