- Advertisement -
 |
Foto MYBERITA |
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Rabu mengeluarkan Soalan-Soalan Lazim (FAQ) bagi memperjelaskan pertimbangan dalam tindakan yang diambil berhubung kes yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, raja dan kaum) melibatkan Maestra Broadcast Sdn Bhd, baru-baru ini.
Menurut FAQ tersebut, pihak pengurusan tertinggi Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dipanggil oleh SKMM untuk memberikan penjelasan selepas insiden yang berlaku. Syarikat berkenaan telah dinasihatkan supaya memastikan kawalan kandungan yang lebih ketat serta mematuhi garis panduan kandungan yang ditetapkan. SKMM turut menekankan kepentingan latihan berterusan kepada kakitangan bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang.
“Setelah mengambil kira bahawa kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang mewujudkan ketidaktenteraman antara kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah dikenakan terhadap syarikat berkenaan,” menurut kenyataan dalam FAQ itu.
Di bawah pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut adalah denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
FAQ tersebut turut memaklumkan bahawa SKMM telah membuka satu kertas siasatan berdasarkan aduan yang diterima di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung satu kandungan video yang didakwa menghina agama Hindu. Siasatan mendapati bahawa kandungan video berkenaan telah dimuat naik di platform rasmi TikTok ‘era.je’ yang dioperasikan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd. Berdasarkan keputusan Jabatan Peguam Negara, syarikat tersebut dikenakan kompaun.
Berhubung isu notis penggantungan lesen, SKMM menjelaskan bahawa setelah mempertimbangkan pelbagai faktor serta penghujahan bertulis yang dikemukakan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd, lesen syarikat tersebut tidak digantung memandangkan tindakan pembetulan segera telah dilakukan, termasuk permohonan maaf secara terbuka.
Dalam FAQ itu juga, SKMM menjawab persoalan berkaitan perbezaan kompaun dalam kes Maestra Broadcast Sdn Bhd dengan kes melibatkan Harith Iskander dan Cecelia Yap yang memuat naik kandungan dan komen jelik mengenai agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025. Kedua-dua individu tersebut dikenakan kompaun RM10,000.
SKMM menjelaskan bahawa tindakan yang diambil terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap adalah berdasarkan peruntukan sebelum pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025. Di bawah peruntukan lama, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah denda RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Dengan langkah-langkah ini, SKMM berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dalam mengendalikan kandungan digital bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang serta memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
Iklan