ROMPIN – Projek kreatif bertajuk Socks & Roll telah meraih Anugerah Projek Terbaik Kedua bagi kategori Diploma Teknologi Media Cetak sempena Visual Communication Show 2024 (VISCOM 24) anjuran Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Muadzam Shah.
Projek inovatif ini merupakan hasil kerjasama tiga pelajar iaitu Nurul Fathin Dhania Mohd Shafie, Sharvin Raaj Ravichandran, dan Sofea Balqis Nutman, yang dibimbing oleh penyelia mereka, Ts. Fatin Nabihah Saari.
Socks & Roll mengetengahkan reka bentuk pembungkusan pelbagai fungsi yang direka khusus untuk memegang stoking dengan selamat tanpa perlu mengeluarkannya daripada pek.
Antara ciri istimewa pembungkusan ini ialah adanya gantungan terbina dalam yang membolehkan produk dipamerkan dengan mudah di kedai atau disimpan secara teratur selepas pembelian. Ia turut dilengkapi dengan klip penjimat stoking, yang berfungsi untuk mengelakkan stokin daripada terpisah atau hilang semasa proses pencucian.

Selain itu, reka bentuk ini juga mempunyai pemegang yang praktikal, membolehkan pengguna membawa atau menyusun pek stokin ini dengan lebih mudah.
Menariknya, projek ini turut menyepadukan teknologi Realiti Diperkukuh (AR), di mana pengguna boleh mengimbas kod tertentu untuk melihat panduan interaktif yang menunjukkan cara menggunakan klip penjimat stoking dengan betul dan berkesan.
Kreativiti dalam penyelesaian masalah harian, penggunaan teknologi moden serta pendekatan reka bentuk yang praktikal menjadikan Socks & Roll antara projek yang paling menyerlah dalam VISCOM 24. Pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar dalam meneroka gabungan fungsi dan estetik dalam pembungkusan, selari dengan keperluan pengguna masa kini.