KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai, yang kini berada di ranking kelima dunia, membuktikan mereka masih mampu bersaing di pentas antarabangsa apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.
Pasangan suami isteri itu menampilkan aksi bertenaga ketika menundukkan wakil tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah, dengan keputusan straight set 21-12, 21-17 di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.
Kemenangan tersebut membuka laluan mereka ke peringkat suku akhir, namun mereka menyedari cabaran getir menanti apabila dijadualkan menentang pasangan muda Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
“Cabaran sekarang adalah pemain muda yang lebih agresif dan bertenaga. Dengan usia kami, semuanya lebih mencabar – dari segi latihan, pemakanan hingga rehat. Kami perlu lebih teliti dan tak boleh lagi buat seperti waktu muda,” kata Soon Huat sambil ketawa.
Walaupun tidak mempunyai pasukan sokongan besar seperti beregu utama negara lain, pasangan ini mengekalkan disiplin tinggi dan mengikut pendekatan latihan yang bersesuaian.
Menurut Shevon, kreativiti jurulatih banyak membantu mereka kekal relevan dalam persaingan sengit badminton dunia.
“Walaupun kami kekurangan rakan sparring dalam beregu campuran, jurulatih kami sangat kreatif. Beliau sentiasa menyesuaikan latihan dengan keperluan semasa dan memberi fokus kepada taktikal,” ujarnya.
Kini, sasaran utama pasangan ini adalah untuk mengekalkan momentum dan memburu tempat ke separuh akhir kejohanan.