KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Khamis ini bagi memberi keterangan lanjut berkaitan pengisytiharan harta yang dilakukannya sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menyatakan bahawa sesi rakaman percakapan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.
“Beliau (Ismail Sabri) akan dipanggil semula Khamis ini bagi meneruskan rakaman percakapan,” kata Azam Baki dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Menurut beliau, rakaman percakapan itu adalah berhubung proses pengisytiharan harta oleh Ismail Sabri dan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Setakat ini, belum ada maklumat lanjut sama ada siasatan itu akan membawa kepada sebarang tindakan lanjut.
SPRM dijangka akan terus menjalankan proses siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan.