KUALA LUMPUR – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa kerana mengalami keletihan sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China di ibu negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa keberadaan baginda di IJN adalah bagi tujuan berehat dan menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Baginda berasa sedikit letih, jadi beliau berehat di Institut Jantung Negara,” katanya dalam sidang media di sini.
Sumber kerajaan memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa Sultan Hassanal, 78, dimasukkan ke IJN antara sesi mesyuarat penting dalam sidang kemuncak tersebut.
Hospital itu turut dikenalpasti sebagai fasiliti kesihatan rasmi bagi menerima tetamu kenamaan sepanjang acara berlangsung.
Baginda yang menaiki takhta pada 1967 kini merupakan pemerintah monarki paling lama di dunia dan antara individu terkaya secara peribadi.
Pemerintahannya membawa kejayaan ekonomi serta kemerdekaan penuh Brunei daripada Britain, namun turut dikaitkan dengan pengenalan undang-undang syariah yang ketat.
Difahamkan, keadaan kesihatan baginda tidak membimbangkan dan beliau kini berehat di bawah pengawasan pakar perubatan IJN.