KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menzahirkan titah agar cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan sempadan Sungai Golok dimuktamadkan dengan segera.
Baginda bertitah, isu keselamatan di sempadan Malaysia–Thailand perlu dipandang serius dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.
“Beta memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia–Thailand,” titah baginda dalam Titah Ucapan Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15, hari ini.
Pada November lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan pembinaan tembok sepanjang 100 kilometer bagi mengatasi isu penyeludupan, jenayah rentas sempadan serta banjir.
Sultan Muhammad V turut menggesa agar projek lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok disegerakan bagi menangani masalah banjir tahunan yang melanda negeri ini.
“Fasa keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan,” titah baginda.
Baginda turut menekankan agar jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian kekal fokus kepada fungsi utama masing-masing serta mempergiat usaha menjamin sekuriti makanan negeri dan negara.
“Beta sangat mengharapkan pihak kerajaan serta rakyat meneroka dan mendinamikkan tanaman berpotensi tinggi seperti kelapa dan durian sebagai sumber pendapatan dalam bidang pertanian.
“Selaras dengan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022, beta berharap sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing dapat dibangunkan dengan segera,” titah baginda.
Dalam aspek perbandaran, Sultan Muhammad V menyeru semua pihak berkuasa tempatan agar memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, keindahan dan pengurusan bandar.
“Beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Landskap Negara atas kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam dalam melaksanakan projek landskap di bandar Kota Bharu.
“Beta berharap agar semua pihak berkuasa tempatan dapat meneliti isu bangunan terbiar serta memanfaatkan peluang ekonomi yang ada di dalam bandar,” titah baginda.
Sultan Muhammad V juga menggesa agar pembangunan infrastruktur disegerakan, termasuk menawarkan insentif pengecualian cukai yang kompetitif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Baginda memberi contoh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka membawa fungsi baharu di kawasan Pasir Puteh dan Bandar Baru Tunjong.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan sistem pengangkutan tetapi juga memberikan kesan gandaan ekonomi kepada rakyat beta,” titah baginda.