TELUK INTAN – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat menyantuni lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, di sini pada Selasa lalu.
Keberangkatan baginda ke Hospital Teluk Intan sekitar pukul 11 pagi diiringi oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin dan Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Annuar Zaini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha; Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus.
Sultan Nazrin meluangkan masa menziarahi empat anggota FRU yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44.
Baginda turut berkenan menziarahi seorang lagi anggota, Koperal Mohamad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, yang kini dirawat di wad biasa hospital sama.
Dalam lawatan tersebut, Sultan Nazrin turut menyantuni ahli keluarga anggota yang terlibat, bertanya khabar serta menyampaikan kata-kata semangat. Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Difahamkan, kesemua anggota FRU itu terlibat dalam satu nahas jalan raya ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan rasmi. Keadaan mereka dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan pihak perubatan.