Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHSuspek culik remaja 16 tahun ditembak mati

Suspek culik remaja 16 tahun ditembak mati

- Advertisement -

KLANG – Polis menembak mati seorang lelaki berusia 21 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang gadis berusia 16 tahun di Seremban minggu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek maut dalam kejadian berbalas tembak bersama pasukan polis di Bukit Tinggi, Klang pagi tadi.

Menurutnya, pihak polis turut menahan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan tersebut dalam siri serbuan susulan.

Dalam kejadian itu, penculik dilaporkan meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.

Mangsa akhirnya dibebaskan selepas keluarganya membayar RM280,000 serta menyerahkan beberapa barang kemas kepada penculik.

“Polis berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada wang tebusan yang telah dibayar. Butiran lanjut akan diumumkan dalam satu sidang media oleh pihak atasan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian berbalas tembak, Fadil berkata pasukan polis cuba menahan suspek yang memandu sebuah kereta jenis Proton Wira, namun suspek bertindak agresif.

“Suspek memandu melawan arus lalu lintas untuk mengelak ditahan sebelum berlaku kejar mengejar. Kejar-mengejar itu berakhir apabila keretanya melanggar kenderaan polis dan berjaya dipintas.

“Seterusnya berlaku tembak-menembak dan polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengakibatkan kematian suspek,” jelas beliau.

Polis turut menemui sepucuk pistol dan sebilah parang di dalam kereta suspek. Bagaimanapun, pemeriksaan penuh ke atas kenderaan masih belum dijalankan kerana menunggu kehadiran unit forensik.

Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan dan pihak polis percaya lebih ramai individu akan ditahan dalam tempoh terdekat.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN