Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANSyafiq Kyle ‘kekok tapi seronok’ beraya di kampung isteri

Syafiq Kyle ‘kekok tapi seronok’ beraya di kampung isteri

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Pelakon popular, Syafiq Kyle mengakui pengalaman menyambut Aidilfitri buat pertama kali sebagai suami memberikan momen manis tersendiri, lebih-lebih lagi apabila beraya di kampung halaman isterinya, pelakon Mimi Lana di Taiping, Perak.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, meskipun masih terasa kekok, namun beliau gembira dapat beraya bersama keluarga besar isterinya.

“Raya ketiga baru kami ke kampung Mimi. Biasalah, tahun pertama memang ada rasa kekok sikit, tetapi saya seronok sebab dapat beraya di kampung.

“Persiapan pun sederhana sahaja. Kami tak ada buat apa-apa sangat selain beraya di rumah saya dan dia. Paling manis bila dapat balik kampung berdua, dan lagi seronok bila tengok Mimi beraya dengan keluarga,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbaharunya, Blood Brothers, semalam.

Tambah Syafiq, beliau teruja dapat mengenali lebih ramai ahli keluarga isterinya termasuk anak-anak buah serta bapa saudaranya sepanjang berada di Taiping.

Mengulas mengenai kemesraan yang ditonjolkan bersama Mimi sewaktu hari raya yang mencuri perhatian warganet, Syafiq tidak mengambil pusing komen-komen tersebut dan menganggap ia sekadar gurauan peminat.

“Saya tak terkejut sebab memang ada orang yang cemburu. Tapi nak buat macam mana, doakanlah yang baik-baik.

“Lagipun saya rasa mereka bergurau saja, sebab mereka pun peminat Mimi juga. Mungkin mereka suka tengok kami bersama,” ujarnya sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Syafiq turut berkongsi juadah istimewa yang disediakan oleh isterinya sempena lebaran kali ini iaitu daging dendeng mengikut resipi warisan keluarga.

“Mimi masak daging dendeng ikut resipi mak dia, tapi tak masak banyak pun sebab kami berdua sahaja. Jadi, masa raya kedua pun dah habis,” selorohnya.

Untuk rekod, Syafiq dan Mimi mengejutkan ramai apabila mengumumkan mereka sudah sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan Februari lalu di Taiping.

Majlis pernikahan tersebut hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat selepas perancangan asal untuk bernikah pada 18 Ogos 2023 dibatalkan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN