- Advertisement -
 |
Loke ketika meninjau operasi khas JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih. (Foto Adam Hafiz Ahmad) |
HULU LANGAT – Semua pengusaha kenderaan komersial diingatkan agar memastikan keselamatan kenderaan mereka bagi mengelakkan sebarang bahaya kepada pengguna jalan raya lain, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau menegaskan bahawa pengusaha berisiko digantung oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekiranya kenderaan mereka yang terlibat dalam kemalangan gagal dalam proses audit Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sekarang ia menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP), bermaksud jika berlaku kemalangan, sama ada kemalangan biasa atau kemalangan maut, syarikat lori tersebut akan diaudit. Tahun lalu, ratusan syarikat lori gagal dalam audit mereka dan operasi mereka digantung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program operasi khas JPJ dan majlis berbuka puasa di Stesen Penguatkuasaan JPJ Semenyih, hari ini yang turut dihadiri, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Sementara itu, Loke memaklumkan bahawa penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ masih dalam peringkat perolehan.
“Kita tertakluk kepada proses perolehan dan berharap ia dapat diselesaikan bersama pihak polis. Kita akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan perolehan secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa larangan penggunaan soket tiga pin dan USB dalam bas ekspres masih berkuat kuasa memandangkan garis panduan mengenainya masih dalam peringkat perangkaan.
Menurutnya, pihak kementerian sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi membangunkan garis panduan tersebut.
Larangan itu dikuatkuasakan susulan insiden pada November tahun lalu yang menyaksikan seorang remaja maut akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit dalam sebuah bas ekspres di Butterworth, Pulau Pinang.
Iklan