Khamis, 17 Julai 2025
UTAMATERKINISyed Saddiq bebas empat pertuduhan berkaitan dana armada

Syed Saddiq bebas empat pertuduhan berkaitan dana armada

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada empat pertuduhan jenayah membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sebulat suara itu diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, selepas mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 adalah tidak selamat.

“Kami mendapati berlaku salah arah oleh Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan keempat-empat pertuduhan terhadap perayu. Justeru, sabitan dan hukuman sebelum ini diketepikan,” kata Datuk Ahmad Zaidi ketika membaca keputusan panel.

Syed Saddiq sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut. Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, dalam melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua pula melibatkan salah guna wang RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk kegunaan peribadi di Maybank, Taman Pandan Jaya, antara 8 hingga 21 April 2018.

Dua lagi pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, masing-masing berjumlah RM50,000, apabila beliau memindahkan wang ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Sepanjang prosiding rayuan, Syed Saddiq diwakili oleh peguam kanan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diketuai Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Panel hakim berpandangan bahawa tindakan Mahkamah Tinggi mengaitkan inferens niat jahat terhadap Syed Saddiq dalam pengurusan dana tersebut adalah tidak tepat dan tidak disokong bukti kukuh.

“Pendakwaan gagal membuktikan secara menyeluruh bahawa perayu mempunyai niat jahat dan melakukan kesalahan dengan pengetahuan penuh serta sengaja,” ujar panel itu dalam keputusan mereka.

Keputusan ini dianggap sebagai kemenangan besar buat Syed Saddiq, yang juga bekas Presiden parti MUDA. Kes ini telah menarik perhatian umum sejak beliau didakwa pada tahun 2021, memandangkan ia melibatkan tokoh politik muda yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan termuda dalam sejarah negara.

Syed Saddiq kini bebas daripada semua pertuduhan jenayah yang pernah dikenakan terhadapnya, dan boleh meneruskan kerjaya politiknya tanpa sebarang sekatan perundangan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN