Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALTarikh lihat anak bulan Zulhijah pada 27 Mei ini di 29 lokasi

Tarikh lihat anak bulan Zulhijah pada 27 Mei ini di 29 lokasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah, di 29 lokasi seluruh negara.

Menurut kenyataan rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, pengisytiharan tarikh 1 Zulhijah akan dibuat pada malam yang sama menerusi siaran radio dan televisyen tempatan.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Selasa, 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446H.

“Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa penetapan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab,” jelas kenyataan itu lagi.

Antara lokasi melihat anak bulan yang telah dikenal pasti termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang (Negeri Sembilan); dan Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Turut disenaraikan ialah Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Manjong (Perak); serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).

Di Kedah, lokasi terlibat ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, manakala di Terengganu pula ialah Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian serta Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Tiga lokasi di Kelantan turut terlibat iaitu Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu. Bagi Sarawak, lokasi yang ditetapkan ialah Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Pusat Falak Bintulu.

Balai Cerap Al-Biruni di Putatan (Sabah), Bukit Tanjong Batu, Gunung Brinchang dan Menara Kuantan 188 (Pahang) turut termasuk dalam senarai.

Empat lokasi lain adalah Menara Universiti Malaysia Sabah di Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah yang penuh keberkatan. Pada bulan ini, umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat Haji di Tanah Suci dan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN