Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMATERKINITelegram Edisi Siasat, Edisi Khas diambil tindakan sivil atas kandungan berbahaya –...

Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas diambil tindakan sivil atas kandungan berbahaya – MCMC

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” atas dakwaan menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan bahawa kandungan yang disebarkan oleh kedua-dua saluran tersebut berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)],” jelas kenyataan itu.

Menurut MCMC, tindakan undang-undang ini diambil selepas kegagalan serius pihak Telegram untuk menangani kandungan berkenaan walaupun telah berulang kali dilaporkan dan pelbagai usaha rundingan serta kerjasama telah dijalankan.

Sehubungan itu, MCMC telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” ujar MCMC.

Namun begitu, MCMC turut menegaskan bahawa pihak Telegram akan diberi ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.

Sebagai badan kawal selia, MCMC mengingatkan semua penyedia platform media sosial agar bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa terhadap mana-mana platform lain demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna negara ini,” katanya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN